WASIAT LUQMAN AL-HAKIM


01 – Hai anakku: ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam ke dalamnya. Bila engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan SAMPAN yang bernama TAKWA, ISInya ialah IMAN dan LAYARnya adalah TAWAKKAL kepada ALLAH.

02 – Orang – orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari ALLAH. Orang yang insaf dan sedar setalah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemuliaan dari ALLAH juga.

03 – Hai anakku; orang yang merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kepada ALLAH, maka dia tawadduk kepada ALLAH, dia akan lebih dekat kepada ALLAH dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada ALLAH.

04 – Hai anakku; seandainya ibubapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang dilakukanmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman.

05 – Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.

06 – Dan selalulah berharap kepada ALLAH tentang sesuatu yang menyebabkan untuk tidak menderhakai ALLAH. Takutlah kepada ALLAH dengan sebenar benar takut ( takwa ), tentulah engkau akan terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat ALLAH.

07 – Hai anakku; seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seorang yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak melamunkan hal hal yang tidak benar. Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu mengerti.

08 – Hai anakku; engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih lagi daripada semua itu, adalah bilamana engkau mempunyai tetangga (jiran) yang jahat.

09 – Hai anakku; janganlah engkau mengirimkan orang yang bodoh sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimulah saja yang layak menjadi utusan.

10 – Jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu telah memberikan akibat yang berbahaya.

11 – Hai anakku; bila engkau mempunyai dua pilihan, takziah orang mati atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah untuk menziarahi orang mati, sebab ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja.

12 – Janganlah engkau makan sampai kenyang yang berlebihan, kerana sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu adalah lebih baiknya bila makanan itu diberikan kepada anjing sahaja.

13 – Hai anakku; janganlah engkau langsung menelan sahaja kerana manisnya barang dan janganlah langsung memuntahkan saja pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan.

14 – Makanlah makananmu bersama sama dengan orang orang yang takwa dan musyawarahlah urusanmu dengan para alim ulamak dengan cara meminta nasihat dari mereka.

15 – Hai anakku; bukanlah satu kebaikan namanya bilamana engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah bagaikan orang yang mencari kayu bakar, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya.

16 – Hai anakku; bilamana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura pura membuat dia marah. Bilamana dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu,maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak demikian, maka berhati hatilah.

17 – Selalulah baik tutur kata dan halus budi bahasamu serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan barang yang berharga.

18 – Hai anakku; bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.

19 – Jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau mengharap sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riya~ yang akan mendatangkan cela pada dirimu.

20 – Hai anakku; janganlah engkau condong kepada urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan olah dunia saja kerana engkau diciptakan ALLAH bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.

21 – Hai anakku; usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain.

22 – Hai anakku; janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana sesuatu yang menggelikan, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah engkau bertanya sesuatu yang tidak ada guna bagimu, janganlah mensia siakan hartamu.

23 – Barang sesiapa yang penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada berkata yang mengandungi racun, dan sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari berkata kotor tentu akan menyesal.

24 – Hai anakku; bergaullah rapat dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata katanya bagaikan tanah yang subur lalu disirami air hujan.

25 – Hai anakku; ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke keranjang atau bakul sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membuat beban orang lain. Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.

Gurindam 12 Raja Ali Haji Melayu Riau.

Ketika 1263H sekitar tanggal dua puluh tiga (23) bulan Rajab hari Selasa, Raja Ali Haji mengarang satu gurindam 12 Melayu Riau. 


Fasal 01 - Gurindam 12 Melayu Riau

Ini gurindam pasal yang pertama

Barang siapa tiada memegang agama,sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama.
Barang siapa mengenal yang empat,maka ia itulah orang ma'rifat
Barang siapa mengenal Allah,suruh dan tegahnya tiada ia menyalah.
Barang siapa mengenal diri,maka telah mengenal akan Tuhan yang bahari.
Barang siapa mengenal dunia,tahulah ia barang yang terpedaya.
Barang siapa mengenal akhirat,tahulah ia dunia melarat.


Fasal 02 - Gurindam 12 Melayu Riau

Ini gurindam pasal yang kedua

Barang siapa mengenal yang tersebut, tahulah ia makna takut.
Barang siapa meninggalkan sembahyang, seperti rumah tiada bertiang.
Barang siapa meninggalkan puasa, tidaklah mendapat dua temasya.
Barang siapa meninggalkan zakat, tiadalah hartanya beroleh berkat.
Barang siapa meninggalkan haji, tiadalah ia menyempurnakan janji.


Fasal 03 - Gurindam 12 Melayu Riau

Ini gurindam pasal yang ketiga:

Apabila terpelihara mata, sedikitlah cita-cita.
Apabila terpelihara kuping, khabar yang jahat tiadalah damping.
Apabila terpelihara lidah, nescaya dapat daripadanya faedah.
Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan, daripada segala berat dan ringan.
Apabila perut terlalu penuh, keluarlah fi'il yang tiada senonoh.
Anggota tengah hendaklah ingat, di situlah banyak orang yang hilang semangat
Hendaklah peliharakan kaki, daripada berjalan yang membawa rugi.


Fasal 04 - Gurindam 12 Melayu Riau

Ini gurindam pasal yang keempat:

Hati kerajaan di dalam tubuh, jikalau zalim segala anggota pun roboh.
Apabila dengki sudah bertanah, datanglah daripadanya beberapa anak panah.
Mengumpat dan memuji hendaklah pikir, di situlah banyak orang yang tergelincir.
Pekerjaan marah jangan dibela, nanti hilang akal di kepala.
Jika sedikitpun berbuat bohong, boleh diumpamakan mulutnya itu pekong.
Tanda orang yang amat celaka, aib dirinya tiada ia sangka.
Bakhil jangan diberi singgah, itupun perampok yang amat gagah.
Barang siapa yang sudah besar, janganlah kelakuannya membuat kasar.
Barang siapa perkataan kotor, mulutnya itu umpama ketur.
Di mana tahu salah diri, jika tidak orang lain yang berperi.


Fasal 05 - Gurindam 12 Melayu Riau

Ini gurindam pasal yang kelima:

Jika hendak mengenal orang berbangsa, lihat kepada budi dan bahasa,
Jika hendak mengenal orang yang berbahagia, sangat memeliharakan yang sia-sia.
Jika hendak mengenal orang mulia, lihatlah kepada kelakuan dia.
Jika hendak mengenal orang yang berilmu, bertanya dan belajar tiadalah jemu.
Jika hendak mengenal orang yang berakal, di dalam dunia mengambil bekal.
Jika hendak mengenal orang yang baik perangai, lihat pada ketika bercampur dengan orang ramai.


Fasal 06 - Gurindam 12 Melayu Riau

Ini gurindam pasal yang keenam:

Cahari olehmu akan sahabat, yang boleh dijadikan obat.
Cahari olehmu akan guru, yang boleh tahukan tiap seteru.
Cahari olehmu akan isteri, yang boleh menyerahkan diri.
Cahari olehmu akan kawan, pilih segala orang yang setiawan.
Cahari olehmu akan abdi, yang ada baik sedikit budi,


Fasal 07 - Gurindam 12 Melayu Riau

Ini Gurindam pasal yang ketujuh:

Apabila banyak berkata-kata, di situlah jalan masuk dusta.
Apabila banyak berlebih-lebihan suka, itulah tanda hampir duka.
Apabila kita kurang siasat, itulah tanda pekerjaan hendak sesat.
Apabila anak tidak dilatih, jika besar bapanya letih.
Apabila banyak mencela orang, itulah tanda dirinya kurang.
Apabila orang yang banyak tidur, sia-sia sahajalah umur.
Apabila mendengar akan khabar, menerimanya itu hendaklah sabar.
Apabila mendengar akan aduan, membicarakannya itu hendaklah cemburuan.
Apabila perkataan yang lemah-lembut, lekaslah segala orang mengikut.
Apabila perkataan yang amat kasar, lekaslah orang sekalian gusar.
Apabila pekerjaan yang amat benar, tidak boleh orang berbuat onar.


Fasal 08 - Gurindam 12 Melayu Riau

Ini gurindam pasal yang kedelapan:

Barang siapa khianat akan dirinya, apalagi kepada lainnya.
Kepada dirinya ia aniaya, orang itu jangan engkau percaya.
Lidah yang suka membenarkan dirinya, daripada yang lain dapat kesalahannya.
Daripada memuji diri hendaklah sabar, biar pada orang datangnya khabar.
Orang yang suka menampakkan jasa, setengah daripada syirik mengaku kuasa.
Kejahatan diri sembunyikan, kebaikan diri diamkan.
Keaiban orang jangan dibuka, keaiban diri hendaklah sangka.


Fasal 09 - Gurindam 12 Melayu Riau

Ini gurindam pasal yang kesembilan:

Tahu pekerjaan tak baik, tetapi dikerjakan, bukannya manusia yaituiah syaitan.
Kejahatan seorang perempuan tua, itulah iblis punya penggawa.
Kepada segaia hamba-hamba raja, di situlah syaitan tempatnya manja.
Kebanyakan orang yang muda-muda, di situlah syaitan tempat berkuda.
Perkumpulan laki-laki dengan perempuan, di situlah syaitan punya jamuan.
Adapun orang tua yang hemat, syaitan tak suka membuat sahabat
Jika orang muda kuat berguru, dengan syaitan jadi berseteru.


Fasal 10 - Gurindam 12 Melayu Riau

Ini gurindam pasal yang kesepuluh:

Dengan bapa jangan durhaka, supaya Allah tidak murka.
Dengan ibu hendaklah hormat, supaya badan dapat selamat.
Dengan anak janganlah lalai, supaya boleh naik ke tengah balai.
Dengan isteri dan gundik janganlah alpa, supaya kemaluan jangan menerpa.
Dengan kawan hendaklah adil supaya tangannya jadi kafill.


Fasal 11 - Gurindam 12 Melayu Riau

Ini gurindam pasal yang kesebelas:

Hendaklah berjasa, kepada yang sebangsa.
Hendaklah jadi kepala, buang perangai yang cela.
Hendaklah memegang amanat, buanglah khianat.
Hendak marah, dahulukan hajat.
Hendak dimulai, jangan melalui.
Hendak ramai, murahkan perangai.


Fasal 12 - Gurindam 12 Melayu Riau

Ini gurindam pasal yang kedua belas:

Raja muafakat dengan menteri, seperti kebun berpagarkan duri.
Betul hati kepada raja, tanda jadi sebarang kerja.
Hukum adil atas rakyat, tanda raja beroleh anayat.
Kasihan orang yang berilmu, tanda rahmat atas dirimu.
Hormat akan orang yang pandai, tanda mengenal kasa dan cindai.
Ingatkan dirinya mati, itulah asal berbuat bakti.
Akhirat itu terlalu nyata, kepada hati yang tidak buta.

QUTBAH WIDA'

Wahai Manusia,

Dengarkanlah baik-baik apa yang hendak ku sampaikan dan katakan, aku tidak mengetahui apakah aku akan dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini.

Oleh itu, dengarkanlah dengan teliti kata-kata ku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak hadir disini pada hari ini.

Wahai Manusia,

Sepertimana kamu menganggap pada bulan ini dan kota ini suci, maka anggaplah bahawa jiwa dan harta setiap orang muslim itu sebagai amanah yang suci.
Kembalikanlah harta-harta kamu yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.

Janganlah kamu menyakiti sesiapa pun agar orang lain tidak menyakiti kamu pula.
Ingatlah sesungguhnya kamu akan menemui tuhan kamu, dan Dia pasti akan membuat perhitungan di atas amalan-amalan kamu.

Allah S.W.T telah mengharamkan riba', oleh itu segala urusan yang melibatkan riba adalah terbatal melalui sekarang.

Berwaspadalah kamu terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu, dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara yang besar, maka berjaga-jagalah kamu agar tidak mengikutinya dalam perkara-perkara yang kecil.

Wahai Manusia,

Sebagaimana kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu, maka mereka juga mempunyai hak ke atas kamu.
Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak untuk mendapat makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.

Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah kamu terhadap mereka, kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia.
Hak kamu ke atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan di larang melakukan zina.

Wahai manusia,

Dengarlah bersungguh-sungguh kata-kata ku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan, tunaikanlah zakat-zakat dari harta kekayaan kamu dan kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu.

Ketahuilah bahawa setiap muslim adalah bersaudara kepada muslim yang lain dan tidak seorang pun dari kamu lebih mulia daripada yang lain kecuali di dalam soal taqwa dan amal soleh.

Ingatlah bahawa kamu akan menghadap dan menemui Allah S.W.T pada satu hari kelak untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan.
Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaan ku.

Wahai manusia,

Tidak ada Nabi dan Rasul yang akan diutuskan selepasku dan tidak akan lahir agama baru.
Oleh itu, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu.

Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang mana sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya.
Itulah Al-Quran dan Sunnahku.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku ini menyampaikannya pula kepada orang lain, dan hendaklah orang itu pula menyampaikannya kepada orang lain, semoga yang terakhir itu lebih memahami dan menghayati kata-kataku daripada mereka yang mendengar terus dariku.

Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalahMu kepada hamba-hambaMu

Khutbah ini telah Rasulullah S.A.W. sampaikan pada 9 Zulhijjah 10 Hijrah di Lembah Gunung Arafah.

Ilmiah : Malam Pertama Di Syurga

Buku dihadiahkan kepada saya oleh mantan Pendaftar UiTM pada tahun 2008 semasa saya menghadiri Bengkel Pentadbir Minda Kelas Pertama. Buku hasil karangan Adil Akhyar merupakan gambaran kehidupan insan-insan yang berjaya di sisi Allah sehingga mereka layak bergelar ahli jannah. Penulis menggambarkan syurga dengan terperinci berdasarkan ayat-ayat al-Quranul Karim. 

Buku ini betul-betul memberikan saya gambaran yang jelas mengenai syurga dan tips serta panduan ke sana. Penceritaan mengenai bidadari-bidadari, sungai-sungai yang mengalirkan susu, madu, khamar dan air jernih serta buah-buahan yang banyak dalam persekitaran yang wangi membuatkan keinginan saya untuk membina mahligai di syurga semakin kuat. Buku ini juga menjelaskan proses kematian, di alam kubur, syurga dan neraka, penerangan Hari Kebangkitan dan detik bertemu Allah selepas Hari Pembalasan dengan lebih jelas dan terperinci berlandaskan al-Quran.

Ilmiah : 40 Prinsip Agama - Jalan Pintas Meraih Hidayah

Buku ini adalah terjemahan dari Kitab al-Arba'in Fil Usul Ad Din karya Imam Al-Ghazali. Kitab al-Arba'in fi Usul ad-Din Merupakan karya agung Imam al-Ghazali selepas Ihya' Ulumiddin. Sebenarnya sudah lama saya mencari buku ini kerana dulu semasa saya belajar di UIA kami diwajibkan mengambil subjek ini. Saya sudah membaca terjemahan kitab ini dalam edisi bahasa Inggeris pada tahun 1996. Banyak kebaikan yang saya perolehi dari pembacaan buku ini untuk lebih mengenal Allah.

Alhamdulillah, baru-baru ini saya ditemukan dengan buku ini dan saya terus membelinya pada 22/4/2011 lalu di Popular Book Store, Seberang Jaya. Saya ingin mengucapkan syabas dan jutaan terima kasih kepada penterjemah buku ini kerana hasil usaha tuan memudahkan ramai untuk memahami Kitab Imam Al-Ghazali ini. Berikut adalah isi kandungan buku ini yang mengandungi 40 Prinsip Agama dan dikupas sehalus-halusnya oleh Imam Al-Ghazali.

Bahagian Pertama : 10 Prinsip Ilmu
  • Prinsip pertama : Zat
  • Prinsip kedua : Penyucian
  • Prinsip ketiga : Kuasa
  • Prinsip keempat : Ilmu
  • Prinsip kelima : Kehendak
  • Prinsip keenam : Maha Mendengar dan Maha Melihat
  • Prinsip ketujuh : Maha berfirman
  • Prinsip kelapan : Tentang Perbuatan-perbuatan
  • Prinsip kesembilan : Hari Akhirat
  • Prinsip kesepuluh : Kenabian
  • Tentang kitab-kitab yang dianjurkan untuk dipelajari berkenaan akidah
Bahagian Kedua : 10 Prinsip Amal Lahiriah
  • Prinsip pertama : Solat
  • Prinsip kedua : Zakat dan Sedekah
  • Prinsip ketiga : Puasa
  • Prinsip keempat Haji
  • Prinsip kelima : Membaca al-Quran
  • Prinsip keenam : Berzikir kepada Allah Stiap Masa
  • Prinsip ketujuh : Mencari (rezeki) yang Halal
  • Prinsip kelapan : Menegakkan Hak-hak Kaum Muslim dan Pergaulan Baik dengan Mereka
  • Prinsip kesembilan : Amr bil-Makruf dan Nayl anil-Munkar
  • Prinsip kesepuluh : Mengikut Sunnah
  • Penutup : Tentang Urutan Wirid dan Memerhatikan Sepuluh Masalah
Bahagian Ketiga : Membersihkan Hati dari Akhlak yang Tercela
  • Prinsip pertama : Banyak Makan
  • Prinsip kedua : Banyak Berbicara
  • Prinsip ketiga : Marah
  • Prinsip keempat : Hasad
  • Prinsip kelima : Kedekut dan Mencintai Harta
  • Prinsip keenam : Gila Pangkat
  • Prinsip ketujuh : Cinta Dunia
  • Prinsip kelapan : Sombong
  • Prinsip kesembilan Bangga Diri
  • Prinsip kesepuluh : Riya
  • Penutup Tentang Seluruh Akhlak dan Tempat-tempat penipuan di dalamnya
Bahagian Keempat : Tentang 10 Prinsip Akhlak Terpuji
  • Prinsip pertama : Taubat
  • Prinsip kedua : Khauf (takut)
  • Prinsip ketiga : Zuhud
  • Prinsip keempat : Sabar
  • Prinsip kelima : Syukur
  • Prinsip keenam : Ikhlas dan Benar
  • Prinsip ketujuh : Tawakal
  • Prinsip kelapan : Cinta
  • Prinsip kesembilan : Reda dengan Ketentuan Allah
  • Prinsip kesepuluh : Mengingati Mati dan Hakikatnya serta Bahagian-bahagian yang Bersifat Rohaniah
  • Penutup Tentang Bimbingan Jiwa

Motivasi : How To Stop Worrying and Start Living

Buku ini saya baca pada tahun 2002. Tahun itu saya agak kesedihan atas perkara-perkara yang berlaku dalam kehidupan saya. Saya mula meminati buku Dale Carnegie selepas saya membaca buku "How To Win and Influence People" dalam edisi Bahasa Melayu. Dale Carnegie pandai mengumpul cerita-cerita yang berlaku di persekitaran beliau dan dikompilasikan dalam buku untuk memotivasikan orang.

Buku ini saya cadangkan bacaannya pada siapa yang sedang mengalami saat kesedihan dalam kehidupannya. Cara penulisan Dale Carnegie yang telah berjaya menaikkan semangat motivasi pembaca untuk meneruskan kehidupan dan bergembira dengan setiap saat dalam kehidupan amat saya kagumi. Saya sendiri berasa 'alive' selepas membaca buku-buku beliau.

Antara perkara-perkara yang dibincangkan dalam buku ini adalah :
  • Fundamental facts you should know about worry
  • Basic techniques in analyzing worry
  • How to break the worry habit before it breaks you
  • Seven ways to cultivate a mental attitude that will bring you peace and happiness
  • The perfect way to conquer worry
  • How to keep from worrying about criticism

Novel : IMAM

Ini novel yang paling saya suka. Saya baca novel ini semasa saya di UIA, Petaling Jaya pada tahun 1997. Cara penyampaian novelisnya - Abdullah Hussain membuatkan kita banyak berfikir semasa membaca. Saya akui novel ini agak berat untuk dihayati, ianya buka novel cinta biasa. Ia novel yang memerlukan keterlibatan minda dalam pembacaan.

Novel IMAM ini mengisahkan kehidupan seorang Imam iaitu Imam Mihad yang cuba membuang adat yang terlalu mencengkam masyarakat di kampungnya. Pembaharuan yang cuba dibuat olehnya untuk mengembalikan masyarakat kampung kepada ajaran Islam yang sebenar mendapat banyak tentangan. Novel ini sebenarnya merupakan satu bentuk teguran yang cukup baik untuk semua lapisan masyarakat melayu yang terlalu berpegang kepada adat sehingga menampakkan Islam yang cukup mudah itu menjadi susah. 

Saya kagum dengan penulisnya yang mampu menyusun cerita sehingga kita sebagai pembaca mendapat banyak motivasi dan iktibar dari pembacaan novel IMAM ini. Allah mengilhamkan Tuan Abdullah Hussain.